[ARTIS] Diana Amir sudah bertudung..

Kalau dahulu Irma Hasmie memeranjatkan banyak pihak apabila dia membuat keputusan untuk bertudung, kini penampilan terbaru Diana Amir pula mencuri perhatian. Heroin filem '3,2,1 Cinta' ini dilihat selesa memakai tudung ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran majalah hiburan popular, Media Hiburan petang kelmarin. Ketika ditemui, Diana memberitahu sudah sembilan hari dia memakai tudung dan perubahan itu adalah untuk selamanya, bukan semata-mata untuk menghadiri majlis rumah terbuka itu.

“Ini adalah penampilan terbaru saya dan hari ini (Rabu) masuk hari ke sembilan saya mengenakan tudung. Keputusan ini saya buat setelah beberapa lama memikirkannya. Saya yakin ini adalah keputusan yang terbaik. Niat untuk berubah ini timbul kira-kira dua bulan lalu apabila saya sering teringat tentang mati dan hari kiamat. Setiap kali teringat tentang dua perkara itu, saya mesti takut sebab saya tiada sebarang persediaan untuk menghadapinya. Adakalanya saya menangis seorang diri apabila terlalu memikirkannya."

Namun saya tidak cukup kuat untuk terus berubah kerana ketika itu hati saya masih berbelah bagi. Saya bimbang dengan memakai tudung ia akan membataskan karier lakonan saya. Bagaimanapun, kehadiran bulan Ramadhan tempoh hari memberi hikmah kepada saya. Oleh kerana jadual kerja tidak sibuk, saya banyak menghabiskan masa di rumah keluarga angkat yang sangat mementingkan soal agama. Setiap kali ingin ke rumah mereka saya mesti memakai tudung kerana bapa angkat saya itu agak tegas dalam berpakaian.

"Dalam masa yang sama, mereka juga sering menasihatkan saya supaya menutup aurat. Setelah banyak petunjuk yang saya terima, saya nekad memakai tudung dan yakin perubahan ini adalah jalan terbaik. Saya buat ikhlas kerana Allah bukan kerana desakan keluarga mahupun teman lelaki,”jelas Diana panjang lebar.


Bercerita tentang perancangan karier lakonannya selepas ini, Diana menjelaskan dia tetap akan berlakon kerana pekerjaan ini adalah minatnya. Tetapi dia hanya akan menerima peranan yang bersesuaian.

“Apabila saya nekad memakai tudung, bermakna saya sudah bersedia dengan sebarang risiko. Saya tetap akan berlakon kerana ini adalah minat saya. Tetapi saya akan pilih watak yang bersesuaian sahaja. Rasanya tidak ada masalah kerana kebanyakkan produksi sekarang faham dengan batasan yang harus dijaga oleh seorang pelakon bertudung."Seandainya tawaran berkurangan atau tiada, saya tetap redha. Mungkin itu ujian daripada Allah. Tidak semestinya perkara yang saya suka itu juga disukai oleh Allah,” ujar Diana yang kini sedang mempelajari ilmu agama.

Memandangkan Diana masih mempunyai kontrak dengan MiG, dia juga diminta mengulas tentang penerimaan David Teo tentang perubahannya itu. Jelas Diana, bosnya itu tiada masalah dan menerima keputusannya itu dengan baik.

“Pada awalnya memang Mr. David terkejut kerana dia bimbang keputusan ini akan menjejaskan promosi filem saya yang masih belum keluar di pawagam. Tetapi selepas saya jelaskan dengan baik-baik, dia boleh terima dan menghormati keputusan saya,” ujar Diana.Diana mempunyai lima filem yang akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan iaitu 'Keramat', '7 Petala Cinta', '3 Temujanji', 'Pe-3' dan 'X'.



sumber : gua.com

No comments:

Sponser :

sem0ga Allah merahmati anda...TQ

.

.