Thursday, October 20, 2011

[ARTIS] Rozita Che Wan Pasangan Ally Iskandar Hos ASK 2011



Pelakon Rozita Che Wan bakal digandingkan bersama penyampai popular TV3, Ally Iskandar bagi mengacarakan majlis anugerah berprestij Anugerah Skrin 2011 yang kembali untuk memberikan pengiktirafan kepada para karyawan seni tanah air. Berkonsepkan “Golden Glamour”, malam Anugerah Skrin 2011 bakal bersiaran secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November 2011 pukul 9 malam.Pemilihan pelakon Rozita Che Wan menghangatkan sesi sidang media yang berlangsung sejurus selepas majlis tersebut.  Bercakap di sidang media, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar menjelaskan pemilihan Rozita Che Wan sebagai hos bersama Ally Iskandar adalah untuk menampilkan keunikan dan membuat satu pembaharuan kepada majlis tersebut.



“Pihak penerbitan telah melakukan satu sesi ujibakat untuk Rozita. Saya sendiri telah menonton pita rakaman ujibakatnya. Kami merasakan ia satu kombinasi yang unik selain mewujudkan satu pembaharuan. Kami cukup teruja untuk menyaksikan hasilnya,” jelas Izham.

Tambah Puan Nurul Aini selaku Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Kami sangat yakin kombinasi Rozita dan Ally akan memberi sentuhan kelainan kepada majlis anugerah berprestij itu.” Berterima kasih kerana dipilih sebagai hos bersama, Rozita berjanji akan melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.

"Saya mengambil masa selama 2 minggu untuk membuat keputusan. Saya sedar pengacaraan bukan bidang saya tetapi saya mencabar diri saya untuk melakukannya. Saya telah meneliti draf pertama skrip untuk majlis tersebut. Saya perlu banyak belajar dengan Ally bagaimana untuk menjadi seorang hos yang baik." Sementara itu, Ally menyifatkan pemilihan Rozita sebagai hos bersama memberikannya peluang untuk mengenali bidang lakonan dengan lebih mendalam.

“Kami akan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Pengalaman saya sebagai penyampai akan saya kongsi bersama Rozita, manakala pengalaman Rozita dalam bidang lakonan akan dikongsikan dengan saya. Pada malam itu, kami berharap akan dapat saling melengkapi bagi memeriahkan lagi suasana malam tersebut.” tambah Ally lagi.

Acara karpet merah pula akan dikendalikan oleh pasangan Adzriefaiz Adzlan dan Nabila Huda bersama Juara Hos Bintang Pantene. Antara artis-artis yang bakal menjayakan persembahan di Anugerah Skrin 2011 ialah Black, Ferhad, Zizan, Zain Ruffedge, Altimet, Najwa Latif, Awi Rafael, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Alyah, Aizat dan Tomok. Anugerah Skrin 2011 bakal mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta 2 Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene.


Antara drama yang layak bertanding seperti Berkalung Noda, Airmata Nur Salina, Iqra dan Sanggul Beracun. Manakala, antara filem yang bertanding termasuk Magika, Estet, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie, KL Gangster dan Khurafat. Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2011 menerima pencalonan seperti Asmara 2, Juvana, Nora Elena, Syurgamu Ramadan, Dia Bukan Maryam dan Lagenda Budak Setan. Semua pencalonan dinilai oleh panel juri professional yang dipilih. gua.com.

No comments:

Blog Archive

.