Thursday, October 20, 2011

[BERITA] Empat Pekerja Cedera Dalam Kemalangan Bas Kilang Di P.Pinang


GEORGE TOWN: Empat pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi bas kilang di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu di sini, Khamis.
Kejadian pada pukul 6.15 pagi di persimpangan lampu isyarat itu turut menyebabkan dua kereta yang berhenti di lampu isyarat itu dilanggar dari belakang.
"Keempat-empat mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dengan seorang daripadanya patah kaki," kata Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang DSP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata ketika kejadian, bas kilang yang membawa 40 pekerja itu berhenti di persimpangan lampu isyarat Fasa empat kawasan perindustrian Bayan Lepas.
"Bas itu secara tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi bas kilang. Impak rempuhan itu menyebabkan seorang pekerja kilang terpelanting ke tengah jalan, dua kerusi bas tercabut keluar dan dua kereta yang sedang menunggu lampu isyarat (bertukar hijau) turut dilanggar," katanya.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih 10 kilometer dari arah jambatan Pulau Pinang menghala ke kawasan perindustrian Bayan Lepas.
Seorang pekerja kilang, Murni Hayati Zainal Abidin, 27, berkata sebelum kejadian, bas yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.
"Secara tiba-tiba, saya terasa satu rempuhan kuat di bahagian belakang sebelah kanan bas dan mendengar rakan-rakan menjerit," katanya ketika ditemui Hospital Pulau Pinang sini.
Beliau yang tidak cedera, berkata rakannya Noraini Razali, 40-an, yang duduk di bahagian kanan bas patah kaki kiri. - BERNAMA

No comments:

Blog Archive

.