Friday, October 21, 2011

[BERITA] Lebih Sejuta Jawatan Kosong Jadi Tanda Tanya

Datuk Alias Ahmad


LEBIH sejuta jawatan kosong yang akan ditawarkan oleh kerajaan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Program 6P kini menjadi tanda tanya, sama ada ia akan terlebih dahulu diambil oleh rakyat tempatan.Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, ia merupakan sebahagian daripada proses pemutihan yang membabitkan lima sektor iaitu perkilangan, pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian. Namun persoalannya, berapa ramai rakyat tempatan yang akan berminat dengan tawaran kerajaan sebelum Program 6P memberikan peluang itu kepada Pati.

“Ini kerana lebih sejuta kekosongan jawatan akan ditawarkan terlebih dahulu kepada rakyat tempatan sebelum bakinya diisi oleh Pati.

Sebahagian daripada PATI yang mendaftar dengan program 6P


“Peringkat seterusnya adalah memadankan keperluan majikan dan bilangan Pati yang berdaftar dengan Program 6P,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini. Alias berkata, siapa yang hendak mengisi kekosongan itu dan melakukan pekerjaan di lima sektor yang dibenarkan oleh kerajaan?

“Adakah mereka sanggup bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan pertanian? Adakah mereka juga sanggup untuk bekerja lebih masa? “Ada rakyat tempatan tidak mahu bekerja dalam persekitaran yang panas tanpa pendingin hawa atau melibatkan kerja-kerja yang berat dan tahan lasak,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan berusaha menawarkan peluang itu kepada rakyat tempatan namun ramai yang bersikap memilih kerja.

“Hakikatnya, kita masih memerlukan pekerja asing. Namun pada masa yang sama kita harus melihat kesesuaian terhadap keperluan itu dengan ekonomi, pembangunan dan taraf kemiskinan. “Apa yang penting adalah kesesuaian itu seiring dengan usaha kerajaan untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan negara.“Kerajaan turut mewujudkan satu sistem pengurusan terancang menggunakan kaedah biometrik untuk pekerja asing dalam menangani isu Pati,” katanya.

Alias berkata, baki kekosongan jawatan itu kemudian akan diberikan kepada 1.3 juta Pati yang berdaftar di bawah Program 6P.

“Bilangan 1.3 juta Pati itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 2.3 juta Pati dan pekerja asing yang berdaftar dalam program berkenaan,” katanya.

Daripada jumlah 1.3 juta Pati yang mendaftar melalui Program 6P, seramai 284,331 orang mengisytiharkan sedang bekerja dalam sektor pembinaan. Ia diikuti sektor perkhidmatan seramai 269,510 orang, perkilangan (176,883), perladangan (155,395), pertanian (89,016) dan tiada sektor (327,991).

“Pati dalam kategori tiada sektor turut diberikan peluang pekerjaan. Mereka sebelum ini bekerja di dalam sektor yang tidak dibenarkan oleh kerajaan.“Sebagai contoh, antara pekerjaan mereka di dalam sektor tidak dibenarkan adalah di kedai-kedai runcit, kedai gunting rambut dan tempat mencuci kereta,” kata Alias.

Daripada lebih sejuta jawatan kosong yang ditawarkan oleh kerajaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyenaraikan jumlah paling tinggi iaitu 275,723 kekosongan. Ini diikuti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak 237,700 kekosongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu 220,000 jawatan.

Kekosongan jawatan lain adalah daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (165,000), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (140,000), Kementerian Dalam Negeri (10,000), Kementerian Pelancongan (2,041) dan Kementerian Pengangkutan (963). MSTAR

No comments:

Blog Archive

.