Tuesday, October 25, 2011

[BOLA] KBS Minta FAM Kaji Semula Harga Tiket Final


PUTRAJAYA – Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket RM50 yang ditetapkan bagi semua tempat duduk untuk perlawanan akhir Piala Malaysia Terengganu-Negeri Sembilan Sabtu ini. Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau telah menghubungi FAM dan meminta badan induk bola sepak negara itu segera mengkaji semula harga tiket itu agar tidak membebankan penonton.

“Saya rasa terkejut serta dukacita apabila mendapat tahu FAM menaikkan harga tiket sehingga 70 peratus dan kenaikan tersebut boleh disifatkan sebagai kenaikan yang mendadak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Belia dan Sukan 2011 di sini Selasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan harga tiket RM50 untuk semua tempat duduk dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah hasil daripada persetujuan wakil kedua-dua pasukan.

Sebelum ini harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dijual dengan harga RM30 bagi tempat duduk biasa dan RM50 di ‘grandstand’.

Di SEREMBAN, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata harga tiket RM50 itu membebankan penyokong.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata PBNS tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan kerana ia jelas melonjak dari harga tiket perlawanan akhir tahun lepas.

“Kita sendiri di peringkat PBNS tak setuju dengan harga tiket yang melonjak dari RM30 kepada RM50.

“Ramai yang meminta saya campur tangan tapi itu bukan bidang kuasa saya. Venue dan harga tiket, semua itu FAM yang tentukan. Tapi keputusan telah dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2010 hari ini.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium selain beberapa faktor lain.

Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan turut kesal dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket perlawanan akhir itu.

Timbalan Presidennya Mohd Faidzul Mohd Noh menyifatkan ia sesuatu yang membebankan peminat dan penyokong.

Pada majlis itu, atlet Sukan Tenis, Khoo Er Yang, 17, dan atlet Tenpin Boling, Hurul Ainol Abu Razak, 18, masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati MSSNS 2010.

Kedua-dua mereka dari SMK Saint Paul Seremban dan SMK Puteri Seremban, masing-masing menerima piala pusingan, wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta hadiah iringan yang disampaikan oleh Menteri Besar. – BERNAMA sumber

No comments:

Blog Archive

.