Sunday, March 13, 2011

ikrar pengawas dari student sk telok gadong,klang




sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira samada di sekolah bandar atau luar bandar maupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita.


Sebenarnya terdapat beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab tentang masalah disiplin ini termasuklah para pelajar sendiri, para guru, ibubapa, masyarakat serta kerajaan. Ketika ini apabila berlaku sesuatu insiden dengan mudahnya semua orang menunding jari ke arah guru. Sepatutnya setiap kes diteliti supaya punca kejadian itu dapat dikenalpasti. Selepas itu satu kajian yang lebih menyeluruh mesti dibuat bagi mencari ke akar umbi faktor yang menyumbang kepada berbagai masalah disiplin pelajar masa kini.



Para pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka. Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, kawan, keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Ini termasuk keadaan dunia yang tanpa sempadan kini menyaksikan pelbagai pengaruh dari luar menjajah minda para pelajar sekarang. Walaupun begitu institusi keluarga dan sahabat merupakan sumber yang paling rapat dapat mempengaruhi pelajar.



Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih. Guru yang pertama seorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Seorang bayi akan belajar dengan melihat dan mencuba apa yang dilakukan dan disebut oleh orang di sekelilingnya. Oleh kerana keperluan kehidupan ibubapa terpaksa bekerja maka anak-anak kecil ini sehinggalah ke peringkat remaja biasanya diasuh oleh pembantu rumah. 



Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna. Ini perlu memandangkan ibubapa yang bekerja mempunyai masa yang terhad bersama dengan anak-anak. Masa yang singkat ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kasih sayang dan kemesraan kekeluargaan itu dapat dieratkan. 



Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi. Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa.



Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran pula perlu membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan dengan sistem pendidikan dan peraturan sekolah yang sedia ada. Ketika ini sistem sekolah lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah kecemerlangan sahsiah. Ini dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di sekolah sekolah berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari mereka yang terpilih.



Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing. Cuba fikirkanlah apa yang akan terjadi kepada negara kita yang tercinta ini jika mereka yang bijak tetapi tidak mempunyai jati diri serta rosak akhlaknya menjadi pemimpin. Menjatuhkan hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka yang mempunyai masalah disiplin dan moral ini sebenarnya sedang sakit. Samada sakit jiwa, sakit hati, sakit fikiran atau sakit rohaninya. Mereka yang sakit perlu dirawat supaya dapat pulih semula. Mereka yang terjatuh perlu dibantu untuk bangun semula. Mereka yang tersesat perlu dibimbing ke pangkal jalan.

No comments:

.