Saturday, January 6, 2007

siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong??? Rais Kata Lain, Astro Kata Lain...


KUALA LUMPUR – Kenaikkan harga pakej Astro kini membuka satu persoalan yang amat penting, iaitu siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong.
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memberitahu Mynewshub.my bahawa Astro telah bertindak menaikkan harga pakej langganan tanpa mendapat sebarang kebenaran dari pihak kerajaan.
Manakala Astro pula mendakwa mereka sudah mendapat kebenaran Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM).
Siapa yang benar?
Menteri KPKK, Datuk Seri Rais Yatim yang dihubungi berkata, pihak pengurusan Astro tidak langsung meminta sebarang keizinan dari kementeriannya berhubung kenaikan harga pakej tersebut.
“Tidak, mereka (Astro) tidak ada minta kebenaran Kerajaan,” ulasnya ringkas melalui sistem pesanan ringkas (sms) di sini hari ini.
Pada bulan Jun lalu, Astro mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa pada 11 Julai lepas dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), telah melancarkan kempen ‘boikot Astro’ dan mengecam stesen televisyen berkenaan.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, dengan memperoleh keuntungan sehingga RM800 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 2010, tidak ada sebab untuk Astro terus menekan pelanggan mereka dengan caj yang melampau.
Ekoran itu, Astro terpaksa menangguhkan kenaikan harga caj pakej penyiaran apabila Kabinet melarang stesen berbayar itu bertindak demikian.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan Astro tetap meneruskan tindakan mereka menaikkan harga caj langganan dan tidak mempeduli langsung arahan kerajaan tersebut.
Kenaikan harga caj langganan tersebut telah menyebabkan ramai pihak yang marah terhadap stesen televisyen berbayar itu dan sekali lagi bertindak memboikot Astro.
Sementara itu, kenyataan yang diperoleh dari pihak Astro bercanggah dengan kenyataan yang kami terima dari Rais berhubung kenaikan harga pakej langganan di stesyen televisyen berbayar tesebut.
Menurut seorang Pegawai Perhubungan Pelanggan Astro yang dihubungi di talian 1300-82-3838, menyatakan bahawa penyelarasan harga pakej langganan tersebut telah mendapat persetujuan dari SKMM.
Menurut pegawai tersebut, SKMM telah pun membuat persetujuan untuk penyelarasan harga pakej Astro tersebut dan surat makluman mengenainya juga sudah dikirim kepada hampir 3,000,000 pelanggan  stesen televisyen berbayar tersebut.
“SKMM telah pun membuat persetujuan terhadap penyelarasan harga pakej tersebut,” kata pegawai tersebut ketika dihubungi.
SKMM adalah sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah KPKK untuk menyelia industri komunikasi dan multimedia negara.
Bagaimanapun, pegawai tersebut memaklumkan bahawa penyelarasan harga tersebut hanya melibat beberapa pakej langganan, manakala pelanggan pakej asas Astro yang berharga RM37.95 tidak mengalami sebarang kenaikan harga.
Namun, itu tetap tidak menjawab persoalan siapa menipu siapa kini.
Oleh : ZAMZUKHAIRI NOORDIN

sumber di ambil dari :: 

http://mynewshub.my/bm/2011/07/15/astro-tak-minta-izin-kerajaan-naikkan-harga/







No comments:

.


.

.