Ramai pengguna Islam tidak menyedari kasut dan sandal yang dibeli dan disarung pada kaki mungkin diperbuat daripada kulit babi.
Produk keluaran pengilang tempatan itu didakwa dijual bebas tanpa kawalan ‘khusus’ di berpuluh-puluh premis termasuk pusat beli-belah terkenal di ibu negara.
Pendedahan kes membabitkan kasut dan sandal daripada kulit babi itu sekali lagi menimbulkan isu gempar berikutan aduan diterima dari beberapa pengguna Islam yang mendakwa terbeli `barang haram’ itu, baru-baru ini.
Susulan laporan itu, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, membuat pemeriksaan mengejut di beberapa premis disyaki, semalam.
Hasil pemeriksaan pada 11.30 pagi itu, Jakim dan KPDNHEP terkejut apabila menemui berpuluh pasang sandal dan kasut dipercayai dihasilkan daripada kulit babi, dijual bebas tanpa sebarang tanda amaran di sebuah premis di Sungai Buloh.
Siasatan mendapati, kulit babi pada kasut terbabit boleh dikenal pasti berdasarkan struktur permukaan kulitnya yang mempunyai tiga titik kecil serata yang berhampiran antara satu sama lain.
Serbuan tergempar yang diketuai Ketua Unit Aduan KPDNHEP, Basaruddin Mohiyudin dan Penolong Pengarah Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Kajian Makanan dan Barang Guna Islam Jakim, Mohd Amri Abdullah, mengesan lebih 24 jenis sandal `haram’ berlainan reka bentuk di atas rak jualan.
Lebih mengelirukan pemilik premis tidak meletakkan sebarang peringatan atau tanda amaran pada rak kasut bagi mengelakkan pengguna Islam terbeli kasut atau sandal haram berkenaan.
Mohd Amri berkata, semua kasut dan sandal disyaki dibuat meletakkan lapisan kulit babi pada bahagian dalam bertujuan memberi kelembutan pada kaki pemakai.
“Setakat ini, kami tidak ada bukti saintifik menunjukkan kasut dan sandal terbabit diperbuat daripada kulit babi sehinggalah ia disahkan Jabatan Kimia.
“Bagaimanapun, saya menasihati orang ramai supaya berwaspada kerana kulit babi ini boleh menyebabkan sembahyang dan ibadat si pemakai Islam tidak sah selain perlu disamak dengan air lumpur sekiranya tersentuh,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, premis itu yang beribu pejabat di Gombak, mempunyai hampir 20 premis cawangan di Selangor, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh.
“Kebanyakan kasut itu dijual pada harga diskaun antara RM26 hingga RM49.90 sepasang. Kita turut menemui beratus-ratus kotak kasut terbabit yang disimpan dalam stor premis terbabit,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja premis itu mendakwa sudah menjual beratus kasut dan sandal itu kepada pengguna Islam sejak promosi potongan harga diadakan pada bulan puasa lalu.
“Saya sendiri tidak tahu kasut dan sandal itu diperbuat daripada kulit binatang haram itu, malah saya kerap kali memegangnya tanpa mengesyaki apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Basaruddin berkata, tindakan merampas kasut dan sandal itu turut dilakukan berikutan pengilang menggunakan jenama mewah tiruan jenis Polo pada produk terbabit.
“Setakat ini kita sudah menghubungi pemilik premis terbabit dan menyoal siasat berhubung dakwaan kasut dan sandal terbabit diperbuat daripada kulit babi.
“Namun, pemilik premis mendakwa kasut dan sandal terbabit diperbuat dari kulit lembu. Bagaimanapun kita akan menghantar contoh kasut itu ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan bukti penuh,” katanya.
Menurutnya, pemilik premis seharusnya mengasingkan produk yang haram dibeli pengguna Islam selain meletakkan tanda peringatan pada rak kasut itu.
“Sikap tidak acuh pemilik premis boleh mengundang kemarahan pengguna selain memberi banyak implikasi kepada sensitiviti agama,” katanya.
Susulan serbuan pertama itu, pihak Jakim melakukan siasatan mengejut di sebuah premis menjual kasut di pusat beli-belah Mid Valley Mega Mall pada jam 2 petang.
Hasil pemeriksaan itu, Jakim menemui 11 jenis kasut wanita berharga RM49.90 yang disyaki turut diperbuat daripada kulit babi.
No comments:
Post a Comment