Thursday, August 11, 2011

[KUALA BERANG] Ajal balik kampung


KUALA BERANG: “Ini dugaan paling besar bagi saya, apatah ia berlaku di bulan puasa ini,” kata Shafiee Mohd Noor, 48, bapa kepada Mohd Zahid Shafiee, 20, yang meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Kilometer 37, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Mohd Zahid yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu selepas belajar memandu kereta di sebuah institut latihan di Ajil, dikatakan memasuki laluan kanan jalan secara mengejut sebelum dilanggar sebuah lori dari arah belakang yang gagal mengelak.


Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Shafiee yang bekerja di sebuah bengkel besi di Kampung Tok Randok, di sini berkata, dia tidak menduga sama sekali tragedi itu kerana anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang petanda pelik.


“Cuma semalam (kelmarin) dia batuk kuat dan tidak boleh tidur, itu saja dan saya pun tidak bertanya lanjut kerana ingatkan ia perkara biasa.


“Kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam), dia keluar rumah seperti biasa untuk belajar memandu kereta dan akan mengambil ujian tidak lama lagi.


“Tidak lama selepas itu, ada orang telefon saya beritahu anak kemalangan dan minta segera datang ke tempat kejadian. “Namun, apabila tiba di sana, saya jadi lemah semangat dan tidak mampu melihat arwah sebelum terus ke hospital,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Hulu Terengganu di sini, semalam.


Menurutnya, arwah yang menuntut di tahun tiga Diploma Syariah dan Bahasa di Universiti Sheikh Ahmad Kiftaro, Syria, pulang ke tanah air, Jun lalu, untuk bercuti raya selain mengelak kekacauan politik di negara berkenaan.


Katanya, sejak pulang ke kampung, anaknya yang mudah mesra sering berulang-alik ke Rusila, Marang mengikuti usrah di sana, selain mengambil kelas memandu kereta dan menjadi imam solat Tarawih di Surau Bukit Diman.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah ketika ditemui, mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan menyebabkan kematian.


SUMBER UTAMA:



No comments:

Blog Archive

.