Gara-gara memuat naik gambar tidak bertudung Fida di laman sosial Facebook, percintaan Mamat Sepah dan Fida Ibrahim menjadi berantakan. Selepas beberapa minggu menjadi bualan hangat, Fida akhirnya tampil membuat kenyataan yang dia dan Mamat telah berpisah.
Dalam satu kenyataan kepada sebuah blog hiburan, Fida mengakui isu gambar itu adalah punca utama dia mengambil keputusan untuk berpisah. Bagaimanapun, pelakon itu juga memberi alasan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan karier terlebih dahulu.
Mengulas tentang perpisahan itu, Mamat yang ditemui petang tadi mengakui dia mendapat tahu tentang perkara itu daripada pihak keluarga yang menghubunginya untuk mengetahui cerita sebenar.
“Terus-terang saya katakan, saya tidak tahu tentang perpisahan ini sehinggalah keluarga saya maklumkan. Sejak kisah ini menjadi paparan media cetak dan elektronik, saya sudah tidak membaca akhbar atau menonton program-program hiburan di televisyen. Saya tidak berani untuk membaca dan melihat kisah saya diperkatakan umum. Saya tidak kuat untuk menghadapi situasi ini.
Jika benar Fida mengambil keputusan untuk berpisah, saya hormati keputusannya itu. Saya akui semua yang berlaku ini adalah salah saya. Saya pun telah minta maaf kepada Fida, tetapi mungkin dia tidak dapat menerima permohonan maaf itu. Apa yang berlaku adalah tidak disengajakan. Tidak mungkin saya hendak memburuk-burukkan Fida kerana saya sayangkan dia. Saya terima keputusan Fida untuk berpisah. Mungkin ini adalah hukuman terhadap kesilapan yang saya lakukan. Saya anggap semua yang berlaku ini adalah takdir,” ulas Mamat
Walaupun redha, Mamat juga bertegas ingin menemui bekas kekasihnya itu. Bagi Mamat, Fida tidak boleh hanya memberi kenyataan sudah berpisah tanpa berjumpa atau bersemuka dengannya.
“Saya tahu Fida seorang yang jujur dan tidak pandai menipu. Jika dia kata mahu memutuskan perhubungan kami, saya percaya dengan kata-katanya itu. Tetapi, saya mahu Fida berjumpa dengan saya dan katakan yang dia ingin berpisah. Jangan hanya beri kenyataan kepada pihak media. Saya rasa caranya itu tidak betul. Ketika mahu bercinta, kenapa boleh bersemuka? Apabila hendak putus, mengelak daripada berjumpa pula. Saya mahu Fida putuskan hubungan ini secara baik,” luah Mamat.
Sejak konflik itu tercetus, difahamkan Mamat hanya berpeluang berjumpa dengan Fida sebanyak sekali. Malah, Fida juga dikatakan enggan berbicara melalui telefon
.
No comments:
Post a Comment