SERDANG: Aktres Vanidah Imran tidak mengambil sebarang tawaran berlakon sepanjang tahun ini bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajiannya di Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Kata Vanidah, dia tidak pernah menyesal kerana terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon dan menganggap ia sebagai satu pengorbanan.
"Saya memang merancang untuk sambung pengajian selepas Rashidi tamatkan pengajiannya. Alhamdulillah kini sudah masuk semester kedua saya di OUM.
"Secara jujurnya memang agak sukar untuk membahagikan masa dengan kerja sebab itulah saya menerima tawaran menjadi pengacara rancangan Nona dan menolak semua tawaran berlakon," katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen suaminya, Rashidi Ishak di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, Selasa.
Rashidi menerima ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi daripada universiti itu selepas tujuh tahun bergelar pelajar. Dalam pada itu, Vanidah juga mengakui menyesal kerana terlalu mengejar kerjaya pada usia muda sehingga mengabaikan pelajaran.
"Saya menyesal kerana ketika muda saya terlalu sibuk mencari peluang dalam industri sehingga melupakan pelajaran dan saya menasihatkan artis-artis baru agar habiskan dulu pengajian mereka sebelum terlibat dalam industri ini.
"Industri ini sentiasa terbuka tapi peluang kita untuk belajar kerana itu lebih penting kerana pelajaran memberi nilai tambah dalam diri kita," katanya yang memilih jurusan berkaitan pendidikan dan bahasa.
Selain itu, dia mengakui mendapat inspirasi dan galakan penuh daripada suami dan keluarga untuk terus menuntut ilmu.
"Ayah saya memang ingin sangat saya sambung belajar, sehinggakan saya sudah bekerja dia masih menyuruh saya sambung belajar.
"Selepas suami tamat pengajiannya barulah saya rasa masa yang paling sesuai untuk saya pula menuntut ilmu," ujarnya.
1 comment:
bagus....bolh jd cnth kpd golongan artis n pmint sendiri
Post a Comment