Wednesday, October 5, 2011

[MALAYSIA] Pelantikan Tiga Hakim Wanita Bantu Kurangkan Kes Penceraian: Jamil Khir



KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melantik tiga Hakim wanita dalam usaha mengurangkan kes penceraian di kalangan umat Islam di negara ini.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan itu dilakukan kerana Hakim wanita lebih prihatin terhadap kes penceraian yang dialami golongan wanita dan pada masa sama membantu mempercepatkan urusan berkenaan.
"Dua hakim wanita itu ditempatkan di Wilayah Persekutuan dan seorang lagi di Melaka bagi membantu mahkamah menyelesaikan kes penceraian dengan segera," katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa berkaitan usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM) untuk mengurangkan kadar penceraian.
Beliau berkata perbicaraan pada waktu malam turut diadakan atas penawaran Mahkamah Syariah dan persetujuan pihak terbabit bagi mempercepatkan proses tersebut.
"Ini adalah sebahagian langkah-langkah yang dilakukan JKSM untuk menambah baik proses pengendalian kes penceraian di Mahkamah Syariah," katanya.
Jelas beliau, Mahkamah Syariah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada usaha pihak mahkamah saja kerana proses perbicaraan tidak sama dengan permohonan sesuatu dokumen.Sebaliknya Jamil Khir berkata, perbicaraan di mahkamah dan penyebaran maklumat berkaitan proses itu memerlukan kerjasama semua pihak iaitu para peguam, pihak terlibat dalam suatu kes, saluran media dan badan bukan kerajaan (NGO).Sementara itu, beliau menjelaskan kursus pra perkahwinan yang diwajibkan ke atas pasangan bakal berkahwin berperanan membantu mereka menyelesaikan masalah yang akan dihadapi dalam alam perkahwinan.
"Selepas melihat banyak sukatan perlu dimasukkan, tempoh kursus dilanjutkan kepada dua hari. Kertas sukatan juga akan disusun mengikut kesesuaian dari semasa ke semasa.
"Kes penceraian di kalangan golongan muda didorong pelbagai faktor termasuk gaya kehidupan pasangan dan mereka tanpa segan silu memberikan alasan begitu mudah serta remeh untuk bercerai," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berhubung peranan kursus pra perkahwinan bagi menangani kes penceraian pasangan muda yang semakin meningkat.

sumber:

No comments:

.


.

.