Thursday, October 20, 2011

RM20 Juta Dibazirkan Apabila Kemboja Larang Rakyatnya Jadi Amah Di Malaysia


PETALING JAYA: Hampir RM20 juta telah dibayar, namun pembantu rumah warga Kemboja masih tidak dapat dihantar ke Malaysia.
Justeru apabila kerajaan Kemboja telah mengeluarkan arahan melarang rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini, maka agensi pembantu rumah tempatan serta majikan di negara ini berada dalam keadaan terawang-awang dalam mencari jalan penyelesaian dalam isu tersebut.
Sebuah syarikat agensi pekerja asing mendedahkan kira-kira RM100 juta telah dibazirkan ketika kerajaan Indonesia mengeluarkan arahan melarang rakyatnya bekerja sebagai amah di Malaysia pada 2009.
“Agensi pekerja asing di Kemboja telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan negara tersebut supaya membenarkan amah yang telah ditempah oleh majikan Malaysia bekerja di negara ini,” kata Setiausaha Pikap, Lim Mei Yun.
Dia berkata jumlah wang yang ditelah dibayar sebelum ini akan dapat dikurangkan sekiranya kerajaan Kemboja bersetuju untuk membatalkan larangan supaya pembantu rumah daripada negara tersebut dibenarkan bekerja di Malaysia.
"Kita telah terperangkap apabila larangan tersebut dikuatkuasakan serta merta selepas diumumkan.
"Kita hanya mengetahui mengenai larangan itu apabila membacanya di surat khabar. Sebaliknya larangan yang serupa pernah dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia namun kita diberi tempoh kira-kira sebulan sebelum ia berkuat kuasa,” katanya.
Sementara itu, pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata kerajaan dan agensi bertanggungjawab perlu bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu tersebut.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen telah mengumumkan larangan terhadap penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.Hun Sen dilaporkan berkata beliau kecewa dengan isu penderaan dan kes rogol yang berlaku terhadap pembantu rumah warga Kemboja oleh majikan di negara ini.
Lebih memburukkan keadaan itu, apabila pada Rabu pihak Kedutaan Filipinan memaklumkan bahawa pihaknya lebih berminat untuk menghantar rakyat Filipina yang mahir dan separuh mahir ke Malaysia dan bukannya bekerja sebagai pembantu rumah.
Dalam perkembangan lain:
* Ekoran kekurangan bekalan tenaga pekerja domestik, agensi pekerja asing terpaksa meminta kerajaan membenarkan kemasukan pembantu rumah sambilan
* Malaysia juga akan menubuhkan sebuah pusat hentian setempat (one stop centre) bagi melihat semua masalah yang melibatkan pembantu rumah
* Agensi pembantu rumah juga berharap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Lombok dapat menentukan mengenai penarikan balik moratorium ke atas pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia
* Agensi pekerja asing di Kemboja sedang memohon kepada kerajaan mereka supaya membenarkan penghantaran pekerja domestik yang telah dibayar oleh pihak majikan mereka untuk di hantar ke Malaysia. SUMBER

No comments:

.


.

.